MOSCOW: Sweden telah meningkatkan tahap ancaman pengganas di negara itu daripada tahap tinggi (3) kepada lebih tinggi (4) daripada skala lima peringkat, lapor Sputnik memetik Perkhidmatan Keselamatan Sweden pada Khamis.

"Ketua Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Sweden mengambil keputusan untuk meningkatkan tahap ancaman pengganas daripada tahap Tinggi kepada Lebih Tinggi berdasarkan ancaman serangan yang bertambah buruk ke atas Sweden, serta penilaian bahawa ancaman itu akan kekal selama lamanya," menurut perkhidmatan itu dalam satu kenyataan.

Keputusan itu tidak berkaitan dengan sebarang peristiwa tertentu tetapi dipertimbang dalam perspektif strategik jangka panjang.

"Ancaman terhadap Sweden telah berubah secara beransur-ansur dan ancaman serangan yang ditimbulkan oleh pelampau Islam telah meningkat tahun lalu.

"Sweden telah beralih daripada dianggap sebagai sasaran sah untuk serangan pengganas kepada dianggap sebagai sasaran yang diutamakan," menurut perkhidmatan itu.

Keputusan itu juga bertujuan untuk "menghantar mesej kepada semua masyarakat yang prihatin mengenai pentingnya untuk terus mengambil langkah bagi mengurangkan risiko serangan pengganas.

-- BERNAMA