BANGKOK: Thailand yang menyasarkan untuk memvaksin 50 juta orang menjelang akhir tahun, hari ini menegaskan suntikan vaksin COVID-19 itu merangkumi warga asing yang tinggal di negara ini.

Pada sidang media di sini hari ini, Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata "Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat."

Sebuah pusat vaksinasi untuk rakyat asing akan didirikan di Bangrak, Bangkok, katanya tanpa memperincikan bila dan bagaimana warga asing boleh mendaftar.

Dengan populasi hampir 70 juta, Thailand perlu menyuntik 70 peratus penduduknya atau 50 juta daripadanya untuk mencapai imuniti kelompok.

Baru-baru ini, warga asing di negara itu menyuarakan kebimbangan mengenai pendaftaran vaksinasi dan pengagihan vaksin termasuk yang disediakan pihak swasta.

Thailand memulakan rancangan vaksinasinya pada 28 Februari, bermula dengan petugas perubatan menggunakan 2.5 juta dos Sinovac dan 117,000 dos AstraZeneca.

Pelaksanaan vaksinasi Thailand lebih perlahan berbanding beberapa negara jiran di ASEAN.

Kempen vaksinasi di Thailand dijadual bermula Jun apabila kumpulan pertama vaksin AstraZeneca buatan tempatan tersedia.

Sementara itu, Thailand mencatat 1,911 kes baharu COVID-19 dan 18 lagi korban dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah jangkitan kepada 76,811 dan 336 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata dari 1,911 kes baharu, 1,902 adalah jangkitan tempatan dan sembilan kes import.

Menurutnya, korban terbaharu melibatkan 13 wanita dan lima lelaki berusia antara 45 hingga 100 tahun dengan enam di Bangkok, Samut Prakan (tiga), masing-masing dua di Nonthaburi, Chiang Mai dan Samut Sakhon, satu di Pathum Thani, Yala dan Singburi.

-- BERNAMA