Semua masjid di Thailand diberi lampu hijau untuk menunaikan solat berjemaah dan mengerjakan ibadah korban untuk Aidiladha yang akan disambut pada 31 Julai ini, walaupun perlu mematuhi garis panduan kesihatan yang ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sheikul Islam Thailand Aziz Phithakkhumphon berkata sejak situasi COVID-19 di negara itu bertambah baik dan merekodkan sifar kes penularan tempatan selama dua bulan, solat sunat Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan dilaksanakan di masjid.

Beliau berkata jemaah perlu memakai pelitup separuh muka, mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri.

"Jemaah juga perlu mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan. Waktu solat mestilah ringkas dan bersesuaian," katanya dalam kenyataan.

Sekiranya masjid tidak bersedia untuk memberi kebenaran menunaikan solat sunat Aidiladha, beliau berkata jawatankuasa masjid perlu memaklumkan kepada umat Islam untuk bersolat di rumah dan berjemaah dengan ahli keluarga.

Setakat 24 jam lepas, Thailand merekodkan tiga kes baharu COVID-19, kesemuanya warga Thailand yang kembali dari luar negara dan sifar kematian, menjadikan jumlahnya kepada 3,282 kes dengan 58 kematian.