Ringkasan AI
- Lebih 30 negara mengecam Israel di mesyuarat WHO kerana serangan terhadap hospital di Gaza.
- Beberapa negara menuntut bantuan untuk mengatasi risiko kebuluran di Gaza.
- Duta Israel membela tindakan negaranya dengan mendakwa bahawa Hamas menggunakan kemudahan kesihatan untuk tujuan ketenteraan.
Badan itu turut menuntut lebih banyak penelitian terhadap peranannya dalam krisis kesihatan wilayah itu.
Beberapa negara anggota juga menyalahkan Israel atas risiko kebuluran yang semakin meningkat di Gaza.
Sekumpulan negara menyokong cadangan untuk memberi mandat kepada agensi kesihatan PBB untuk meningkatkan dokumentasi krisis kemanusiaan di Gaza dan melaporkan tentang kebuluran dan penyakit yang tercetus selepas hampir lapan bulan konflik.
Usul itu disokong oleh lebih 30 negara kebanyakannya dari Afrika dan rantau Teluk termasuk Rusia, Turki dan China.
Duta Palestin Ibrahim Khraishi menggesa negara-negara anggota menyokong usul tersebut.
"Israel tanpa ada rasa malu cuba mengemukakan pindaan politik kepada draf keputusan ini. Ada yang menggesa undian untuk draf keputusan dan pindaan berkenaan.
"Ini adalah percubaan untuk mempolitikkan mesyuarat ini. Kita dapat melihat dengan jelas sekarang apa yang cuba dilakukan oleh Israel.
"Kita tidak boleh membenarkan Israel memusnahkan segala-galanya, memusnahkan kemudahan penjagaan kesihatan dan membenarkan ia berlaku. Kita tidak boleh lakukan ini untuk memastikan Israel gembira," tegas Khraishi.
Dalam perhimpunan tahunan WHO yang berlangsung di Geneva itu juga, Menteri Kesihatan Turki Fahrettin Koca berkata bahawa sistem kesihatan di Gaza telah musnah dan tindakan Israel ini juga bermakna perang terhadap hak asasi kesihatan.
Manakala Duta Israel Meirav Eilon Shahar, membela tindakan negaranya dengan mendakwa bahawa Hamas menggunakan kemudahan kesihatan untuk tujuan ketenteraan.
Terdahulu, WHO telah merekodkan ratusan serangan ke atas kemudahan kesihatan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Gaza, sejak konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober bermula.
Fasa terbaharu konflik bulan ini menyaksikan Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Rafah, menyekat pemindahan pesakit dan mengancam keselamatan hospital terakhir yang berfungsi di sana.