RABAT: Kementerian Kesihatan dan Perlindungan Sosial Maghribi melaporkan kes pertama mpox di bandar selatan Marrakech pada Khamis, Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi MAP.

Ini merupakan kes pertama yang dilaporkan di Maghribi di tengah-tengah wabak baharu di peringkat global.

Menurut kementerian, pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan perubatan yang sewajarnya.

Langkah pengasingan dan pemantauan dilaksanakan mengikut piawaian kesihatan nasional dan antarabangsa.

Siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk mengesan semua kontak rapat pesakit dan tiada simptom terhadap semua kontak rapat itu setakat ini, menurut laporan itu.

Kementerian turut menggesa rakyat agar merujuk kepada sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat yang tepat bagi mengelakkan penyebaran khabar angin dan maklumat salah.

Pihaknya juga menasihatkan orang ramai agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk kerap mencuci tangan, mengelakkan kontak langsung dengan individu yang dijangkiti atau disyaki, serta menjaga kebersihan diri.

Maghribi melaporkan kes mpox pertamanya pada 2022.

Pada 14 Ogos, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak mpox di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa, berikutan kemunculan varian yang lebih berbahaya, clade 1b yang kali pertama dikesan di Republik Demokratik Congo pada September 2023.

-- BERNAMA