SINGAPURA: Singapura menawarkan kepada Amerika Syarikat penggunaan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) untuk membawa keluar rakyat Amerika dari Afghanistan.

Tawaran tersebut dibuat Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kepada Naib Presiden AS Kamala Harris pada sidang media bersama di sini pada Isnin. Harris dalam rangka lawatan rasmi ke Singapura.

Lee berkata Singapura menyertai Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di Afghanistan dan "kemudian menjadi negara Asia Tenggara pertama menyumbang tenaga dan aset kepada gabungan global itu untuk menewaskan ISIS di Iraq."

Menurut beliau AS adalah negara rakan kongsi dalam kemudahan maklumat antikeganasan multilateral Singapura yang baharu ditubuhkan dan isu-isu ini telah dibincangkan dengan Naib Presiden semasa pertemuan pada Isnin.

"Mengenai Afghanistan, saya memberitahu kepada Naib Presiden bahawa kita maklum AS sedang melakukan operasi membawa keluar pelarian dari Afghanistan; dan Singapura ingin menawarkan kepada AS untuk menggunakan Pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330," kata Lee.

Pada sidang media sama, Harris berkata buat masa ini negara memberikan tumpuan utama kepada usaha membawa keluar rakyat Amerika dari Afghanistan serta penduduk tempatan yang bekerja dengan AS, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Presiden Joe Biden pada Julai mengarahkan tentera AS menamatkan misinya di Afghanistan menjelang akhir bulan ini.

AS telah berusaha membawa keluar rakyat Amerika dan Afghanistan dari negara itu sejak Taliban menguasai ibu kota, Kabul, pada 15 Ogos.

Tentera AS telah membawa keluar kira-kira 3,900 petugas dari Afghanistan dalam tempoh 24 jam manakala pesawat AS serta sekutunya pula sudah memindahkan sekitar 28,000 orang sejak 14 Ogos, kata Biden.

-- BERNAMA