Sekurang-kurangnya 13 terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata berusia 20 tahun bertindak melepaskan tembakan rambang di sebuah kolej komuniti di Oregon, Amerika Syarikat pada Khamis.

Penembak kemudiannya ditembak mati oleh pihak polis.

Dalam reaksinya, Presiden AS, Barack Obama merayu kawalan pemilikan senjata di negara itu dipertingkatkan sambil membidas kongres yang dikatakan gagal mengambil langkah sewajarnya sehingga negara itu sering berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai sejak kebelakangan ini.

“Sekadar berdoa sahaja tidak mencukupi, ini adalah satu keputusan politik yang perlu kita ambil.”


Lelaki yang identitinya tidak dikenali itu dilaporkan mula menembak mati mangsanya di sebuah kelas di Umpqua Community College yang terletak di pinggiran bandar Roseburg, sebelum beredar ke mangsa seterusnya di kelas berikutnya.

Kata Sheriff John Hanlin, laporan awal mengatakan 10 terbunuh manakala tujuh yang lain cedera dan identiti mangsa akan hanya didedahkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam lagi.


Menurut seorang pelajar, Cassandra Welding yang berada di sebuah bilik berhampiran, dia mendengar 35 hingga 40 bunyi tembakan.

Welding melihat rakan sekelasnya ditembak sejurus membuka pintu kelas terbabit.

“Kami kunci pintu dan tutup lampu dan dalam keadaan panik sebelum memangil 911 (perkhidmatan kecemasan) dan ibubapa kami memaklumkan kami menyayangi mereka dan tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.”