SUDAH empat kali mengadakan lawatan ke tiga wilayah yang menjadi zon konflik, sejak pencetusnya bermula, iaitu rampasan di gudang senjata milik tentera di Chai-airong, Narathiwat, pada pagi 6 Januari 2004.
Sepanjang empat kunjungan (2006, 2007, 2009 dan 2013) ke tiga wilayah bergolak itu, ada kesimpulan berserta persoalan selepas pulang: Bilakah akan reda serangan yang berlaku bertali arus itu? Kalau tiada aman, bolehkah Narathiwat, Yala dan Pattani kecapi pembangunan ekonomi?
Selepas hampir 7,000 nyawa melayang - dengan anak hilang pemandu hidup, isteri tiada tempat bergantung, bilangan imam dan agamawan susut di muncung senjata - perkembangan demi perkembangan di tiga wilayah di negara seberang perbatasan saya ikuti dengan rapat dalam kerancakan isu-isu lain yang lebih rencam.
Dalam garis waktu selepas 2013 sejak kali terakhir lawatan ke tiga wilayah berkenaan, ada banyak perubahan dicatat di Narathiwat, Yala dan Pattani. Dalam hal ini, ada pesanan dikirim sumber di negara jiran itu. Menurutnya, tiga wilayah itu turut sama rancak dalam kepesatan pembangunan menjejaki kawasan-kawasan lain dalam Thailand.
"Selatan Thailand tidak seperti dulu lagi,'' kata Abe Mat ringkas, semasa saya temuinya bagi menjejaki cerita terbaharu dari selatan Thailand menerusi misi Jejak Realiti Selatan.
Untuk rekod, Jejak Realiti Selatan bermula 7 hingga 13 Januari 2020, bermatlamat melihat dan menterjemah semula siri keganasan yang berlaku di tiga wilayah di selatan Thailand.
Sementara itu, kata Abe Mat, di Narathiwat misalnya, sudah lama tiada perintah berkurung, bermakna selepas matahari turun dan suasana menjadi gelap sekali pun, tempat-tempat makan kekal bermandi cahaya seolah-olah malam kekal muda, satu pemandangan yang tiada miripnya semasa kunjungan kali terakhir saya pada 2013.
Dalam hal ini, saya boleh bersetuju dengan Abe Mat kerana pertamanya, semasa di sana, saya melihat ada petunjuk menyokong kenyataan beliau.
Kedai-kedai tomyam kekal dibuka sehingga jam 11 malam - pemandangan sama boleh dilihat di mana-mana lokasi di Malaysia. Petandanya, ia selamat, tanpa ragu-ragu akan adanya tembakan atau kes keganasan. Ini tidak pernah berlaku semasa empat kunjungan saya ke sana. Sebelum ini, jam 7 malam, sudah perlu diam di bilik penginapan dan jika terdesak mahukan sesuatu, perlu berteman serta dikawal askar bersenjata. Malah, kalau peranan media dipegang, mahu buat liputan di luar tempat menginap memang jauh sekali jadi kenyataan. Tetapi sepanjang misi, lebih tiga kali lintas langsung diadakan, di tiap-tiap wilayah yang bergolak itu.
Apa makna itu semua? Ertinya, dekad baharu ini di Narathiwat, Yala dan Pattani, tidak begitu - pada pemerhatian saya semasa misi Jejak Realiti Selatan.
Malah, kalau tempat makan jadi pengukur perubahan serba-serbi segar di selatan Thailand di dekad baharu ini, nah, terdapat juga kedai kopi sentuhan hipster, kopitiam yang dibuka dalam deretan kedai jualan murah, barang permainan serta tekstil. Siapa kata selatan Thailand tidak hipster?
Kini nama-nama kopitiam itu, antaranya, Ping Ping Sawadee, Inanam dikunjungi ramai, bukan sahaja golongan muda yang hipster tetapi juga kalangan golongan lain yang enggan ketinggalan dalam dunia hipster.
Dekad baharu ini juga, kesimpulan mudah hasil empat hari memerhati, naratif penduduk selatan Thailand dengan apa yang berlaku sebelum ini, pada dekad terdahulu, sudah banyak berubah. Bukan sahaja anak muda, generasi lama yang fasih berbahasa Melayu sekali pun mula menukar pandangan, apa yang berlaku biar kekal jadi sejarah. Kata mereka, dekad baharu ini, biar jadi waktu untuk dicabar supaya letakkan sejarah itu di kedudukan pemacu bagi teruskan hidup.
Saya melihat, hasil pemerhatian singkat empat hari di wilayah berkenaan di dekad baharu ini, muda-mudi dan generasi hampir emas, rancak berkomunikasi di platform media sosial, wadah mencari, kemudiannya menyebar maklumat.
Ini turut dibuktikan apabila adanya badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif di media sosial mempromosikan keamanan dan kedamaian untuk tiga wilayah bergolak dikenali sebagai Southern Boundary Organizatiion atau POSBO.
"Muda-mudi semakin terbuka, pendidikan jadi jalan penentu memilih yang baik dan buruk, benar atau sebaliknya, tipu atau berkata sahih,'' kata Sulaiman Chealea, anak muda menerajui POSBO sejak 10 tahun lalu.
Beliau merujuk kepada proses menelan maklumat - yang asalnya diibarat seperti nasi kerabu apabila menggali punca konflik di selatan Thailand.
BACA: Sukarnya mahu damai di selatan Thailand
BACA: Bimbang ditembak di bumi bergolak, imam berserah kepada Allah
Dekad sebelum ini, yang melimpah maklumat itu, ada mengaitkannya dengan layanan tidak adil Bangkok kepada tiga wilayah. Tidak kurang yang mendakwa, ia kerana sentimen pemisah, di mana Pattani, dahulunya empayar terbilang, mahu keluar daripada Thailand. Dan bukan sedikit puncanya kerana marah serta curiga kepada tentera yang beragama Buddha menekan golongan minoriti beragama Islam.
"Tetapi selepas digali, makin melimpah maklumat yang serba rencam keluar daripada platform. Tekan sahaja di media sosial, semuanya ada, dan muda-mudi boleh memilih untuk menerima, menapis, percaya atau buat tidak tahu sahaja,'' ujar beliau sebelum menambah, POSBO digagaskan untuk menyebar luas suara anak muda yang menerima transformasi di dekad baharu.
Tahap keselamatan merupakan satu lagi persoalan di tiga wilayah dilanda pemberontakan seperti di Narathiwat, Yala dan Pattani. Siapa yang tidak takut ke tiga wilayah ini pada dekad sebelum ini? Saya juga begitu, ada perasaan runsing apabila contohnya, hari ini mendengar ada kes tembakan di Narathiwat, esok gempar Imam di Pattani dicabut nyawa semasa bulan Ramadan, lusa pula terdapat guru dibedil di Yala. Tetapi akhirnya, saya baik-baik sahaja sehingga lawatan pada 2013, terima kasih kepada banyaknya sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan oleh tentera Thailand di sepanjang jalan di tiga wilayah berkenaan.
Tetapi, dekad baharu 2020, semasa kunjungan terkini, saya melihat begitu berkurangnya pos-pos keselamatan dan pusat pemeriksaan ketika melalui jalan di sepanjang misi digerakkan.
"Sudah banyak berkurangan. Kes-kes bunuh, tembak dan bedil-bedilan makin kurang dalam tiga wilayah sejak hampir tujuh tahun lepas. Itu sebabnya kawalan askar Thailand juga sudah tidak lagi seperti dahulu,'' kata Lutfee, seorang penterjemah warga Indonesia, lahir di Thailand.
Saya memahami apa yang cuba disampaikan Lutfee dan saya melihat ada benarnya kenyataan beliau itu.
Sepanjang perjalanan, bermula di sempadan Sungai Golok, menuju ke Pattani, kemudian ke Yala sebelum turun ke Narathiwat dan menutup misi Jejak Realiti Selatan, pada dekad ini, saya rasa lebih selamat menikmati lawatan dengan ria, malah tidak berdebar-debar melihat sekatan jalan raya.
Untuk itu, kalau ada yang mahu tahu khabar apa dibawa dari selatan Thailand dekad baharu ini, saya akan katakan, "Selatan Thailand tidak serupo mulo (tidak seperti dahulu)!" Maka, kunjungi, datang, ziarahlah dengan pemikiran lapang ke tiga wilayah ini, bukan promosi tetapi realiti, kerana ini hasilnya - jejak realiti di selatan.
Dr Azlinariah Abdullah
Sun Jan 19 2020
Salah satu pusat pemeriksaan di sempadan selatan Thai. - Foto Ahmad Zakki Jilan
[TERKINI] Perkembangan terkini kemalangan tiga kenderaan
Lintas langsung di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban berhampiran RnR Ayer Keroh.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi seketika - Kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
Malaysia, Bahrain sempena 50 tahun hubungan diplomatik
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Lelaki bakar penumpang tren bawah tanah hingga maut ditahan
Polis New York City menahan seorang lelaki pada Ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Tahanan Guantanamo: Pemulihan fokus aspek psikologi, hubungan kekeluargaan
Aspek psikologi perlu diuruskan terlebih dahulu kerana individu yang menyertai kumpulan pengganas kebiasaannya adalah mereka yang menanggung emosi yang berat serta berpandangan radikal.
Rating penerimaan PM Anwar meningkat kepada 54 % tahun kedua
Rating kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
[TERKINI] Sekurang-kurangnya enam maut, tiga kenderaan bertembung berhampiran RnR Ayer Keroh
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Konsert Maliq & D'Essentials ditunda
Kumpulan itu berjanji untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.
Sawadee: Dekad baharu, selatan Thailand serba-serbi segar
Hasil pemerhatian singkat empat hari di wilayah berkenaan, saya dapati, di dekad baharu ini, muda-mudi dan generasi hampir emas rancak berkomunikasi di platform media sosial dan menyebar maklumat.