Pasangan DiRaja Britain Putera Harry dan Meghan Markle dilaporkan bakal menimang cahaya mata pertama.

Berita gembira itu dikongsikan dalam laman Twitter rasmi Istana Kensington, awal hari ini.

Menurut kenyataan rasmi itu, Meghan bakal melahirkan anak sulungnya pada musim bunga tahun depan (2019).

Namun, tidak dimaklumkan berapa usia kandungan Meghan pada ketika ini, tetapi laporan media tempatan di United Kingdom meramalkan kandungan Meghan sudah melepasi minggu ke-12.



Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang apabila Duchess of Sussex itu dirakamkan dalam satu imej, tidak membutangkan kot biru rekaan Givenchy ketika menghadiri perkahwinan sepupu Harry, Puteri Eugenie pada Jumaat lalu.






Pasangan diraja itu berkahwin di Gereja St George di Istana Windsor, United Kingdom pada Mei lalu.

Pasangan diraja tersebut juga akan berkunjung ke Sydney, Australia pada Selasa ini bagi memulakan program jelajah ke negara-negara Komanwel.