Dalam sidang media di Astana, Kazakhstan selepas pertemuan dengan presiden dan menteri luar Kazakhstan, Lavrov menegaskan keterbukaan Rusia untuk berdialog, khususnya dalam konteks interaksi dengan pentadbiran AS yang akan datang.
"Kami tidak pernah menolak hubungan dengan sesiapa kerana bagi kami, perbincangan sentiasa lebih baik daripada pengasingan," katanya.
Dalam pilihan raya presiden AS pada 5 Nov, calon Republikan Donald Trump menewaskan Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris, dengan memperoleh 294 undi Badan Perwakilan Pemilih.
"Kita lihat nanti. Jika ada cadangan dan saya ulangi, bukan kami yang memutuskan hubungan ini, jadi bukan di pihak kami untuk mencadangkan ia disambung semula.
"Namun, jika ada inisiatif untuk duduk berbincang dengan jujur, tanpa tuntutan sebelah pihak, tentang keadaan kita kini dan langkah ke hadapan, kami bersedia untuk turut serta," katanya.
Ketika ditanya mengenai pelantikan duta, Lavrov menyuarakan keyakinan bahawa pentadbiran AS yang baharu akan melantik duta ke Rusia, dan beliau menegaskan bahawa Moscow tidak akan menghalang proses berkenaan.
"Bagi duta Rusia yang baharu ke AS, proses pemilihan sedang berlangsung mengikut prosedur standard dan akan selesai tidak lama lagi. Kami akan memaklumkan tentang perkara ini," katanya.
Pada 10 Okt, Presiden Rusia Vladimir Putin memecat Anatoly Antonov yang telah berkhidmat sebagai duta ke AS sejak 2017, tanpa menamakan pengganti.
-- BERNAMA