SpaceX mengesahkan kapal tanpa kru itu mengalami pembukaan tidak berjadual secara pantas semasa berlepas ke angkasa dan kehilangan hubungan dengan pusat kawalan di darat.
Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, tetapi imej dari penduduk di negara-negara pulau Laut Caribbean menunjukkan serpihan berapi jatuh dari langit.
Ini merupakan misi kelapan untuk menguji roket tersebut dan kegagalan kedua berturut-turut.
Kapal angkasa setinggi 123 meter itu sepatutnya memasuki semula orbit bumi di atas Lautan Hindi selepas penerbangan selama satu jam.
Insiden itu menyebabkan gangguan penerbangan sementara di beberapa lapangan terbang Florida, termasuk di Miami dan Orlando ekoran kebimbangan mengenai serpihan berapi yang berguguran.
Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, penerbangan masuk dan keluar dari beberapa lapangan terbang tergendala disebabkan insiden pelancaran angkasa.
Rakaman tular yang dimuat naik di laman X menunjukkan serpihan roket yang terbakar jatuh di Laut Caribbean.
Di Bahamas, penduduk melaporkan mereka terpaksa mencari perlindungan bagi mengelakkan terkena serpihan yang jatuh dari langit.
Penggalak Super Heavy yang membantu pelancaran roket bagaimanapun berjaya kembali ke landasan pelancaran dengan selamat.
SpaceX, yang dimiliki oleh jutawan Elon Musk berkata, pasukan mereka segera bekerjasama dengan pegawai keselamatan untuk melaksanakan tindak balas luar jangka berikutan insiden itu.
Katanya, SpaceX akan menyemak data bagi memahami punca utama letupan tersebut dan menjelaskan letupan berlaku selepas kehilangan beberapa enjin.
Jelasnya, serpihan dijangka jatuh dalam kawasan yang telah ditetapkan dan roket tersebut tidak mengandungi bahan toksik.
Bagaimanapun alamat emel dan nombor telefon untuk dihubungi disertakan kepada mereka yang menemui serpihan roket tersebut.
