AMMAN: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad bin Salman pada Khamis melancarkan Syarikat Pembangunan Murabba Baharu (NMDC) untuk membangunkan Riyadh sebagai pusat bandar raya moden terbesar di dunia, lapor Petra.

Selari dengan Wawasan Saudi 2030, projek New Murabba akan dibangun berdasarkan konsep kemampanan dengan menonjolkan kawasan hijau dan laluan berjalan kaki dan berbasikal ke arah meningkatkan kualiti hidup menerusi promosi gaya hidup sihat dan aktif serta aktiviti komuniti.

Projek itu turut meliputi muzium ikonik, universiti teknologi dan reka bentuk, teater tiga dimensi pelbagai guna dan lebih 80 tempat hiburan dan kebudayaan, menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Bakal dibangunkan di persimpangan jalan Raja Salman dan Raja Khalid ke barat laut Riyadh yang meliputi kawasan seluas 19 kilometer persegi.

YouTube: Public Investment Fund

Projek ini akan menawarkan lebih 25 juta meter persegi keluasan lantai, lebih daripada 104,000 unit kediaman, 9,000 bilik hotel dan lebih 980,000 meter persegi ruang runcit serta 1.4 juta meter persegi ruang pejabat, 620,000 aset rekreasi 1.8 juta meter persegi ruang khusus untuk kemudahan komuniti.

NMDC akan membangunkan projek dan membina "Mukaab" sebuah mercu tanda ikonik luar biasa yang menampilkan teknologi inovatif terkini.

Reka bentuk "Mukaab" dengan kemudahan pertama seumpamanya, bakal menjadi antara struktur binaan terbesar di dunia dengan ketinggian 400m, lebar 400m dan panjang 400m.

"Mukaab" akan memastikan penggunaan sepenuhnya setiap ruang untuk menampung teknologi yang diperlukan.

Pelancaran NMDC dijangka menambah SAR180 bilion kepada KDNK bukan minyak dan mewujudkan 334,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung menjelang 2030.

Projek itu dijangka siap pada 2030.

-- BERNAMA