Pihak berkuasa Indonesia kini menyiasat sama ada sindiket pornografi melibatkan kanak-kanak di republik itu ada kaitan dengan rangkaian antarabangsa, lapor Reuters.

Menurut kenyataan polis pada Selasa, kemungkinan itu diambil serius selepas kes video wanita dewasa yang melakukan aksi seks dengan kanak-kanak tersebar di media sosial.

Polis di Jawa Barat berkata, tiga kanak-kanak lelaki, seawal usia 7 tahun, yang terpapar dalam video itu kini dalam jagaan pekerja sosial.

Sekurang-kurangnya lima orang telah ditahan, termasuk dua wanita yang merupakan ibu kepada mangsa.

BACA: Polis Indonesia bongkar sindiket video seks babitkan kanak-kanak

BACA: Demi RM90, ibu gamak jual anak untuk berlakon video lucah

BACA: Video pornografi budak: Ibu mangsa turut saksikan aksi lucah anak


Mereka didakwa melanggar undang-undang pornografi dan perlindungan kanak-kanak, dan berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun. Polis kini memburu seorang lagi suspek.

“Siasatan awal mendapati pengarah aksi lucah itu menjual rakaman video berkenaan kepada seseorang di Rusia dan Kanada,” ujar jurucakap polis Yusri Yunus.

Dia menambah, semua itu adalah atas faktor tawaran wang. Pengarah video lucah itu dilaporkan menerima 31 juta Rupiah (RM9,200) untuk menghasilkan video tersebut.

“Kami sedang menyiasat dan sudah menyelaraskan gerak kerja unit jenayah siber,” katanya.

Indonesia terdedah kepada jenayah pornografi dan pencabulan seksual bawah umur, yang antara lain didorong faktor kemiskinan dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah pada masa lalu.

Tahun lalu, sejumlah 92 pedofil Australia dikekang daripada memasuki negara itu.

Dalam satu kes yang menggemparkan Asia Tenggara sebelum ini, seorang warga Britain, Richard Huckle, dijatuhi 22 hukuman penjara sepanjang hayat pada 2016.

Huckle telah melakukan pencabulan seksual terhadap 200 bayi dan kanak-kanak, kebanyakannya di Malaysia, dan berkongsi imej itu di ruang siber.

Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, Filipina adalah sumber pornografi kanak-kanak nombor satu dunia.