CANBERRA: Beribu-ribu rakyat Australia dilaporkan hidup dalam kemiskinan ekoran krisis kos sara hidup, menurut satu tinjauan.

Australian Associated Press (AAP) melaporkan hasil tinjauan pada Rabu, yang mendapati 93 peratus individu memohon perkhidmatan badan amal dalam tempoh 12 bulan lalu bergelut membeli barangan keperluan asas.

Daripada 1,700 orang yang menyertai tinjauan itu, kira-kira 25 peratus berkata mereka tidak mampu membawa anak-anak mereka berjumpa doktor atau doktor gigi dan satu daripada lima menyatakan mereka tidak mampu menyediakan hidangan tiga kali sehari, lapor Xinhua.

Stuart Glover, setiausaha misi untuk perkhidmatan amal, berkata responden pada kebiasaannya dibekalkan dengan kurang 6 dolar Australia (kira-kira AS$4) sehari selepas membayar kos sara hidup mereka.

"Kami menyaksikan peningkatan ketara setiap hari, rakyat Australia yang memerlukan bantuan sejak tahun lepas," katanya dipetik oleh AAP.

Menurut data yang diterbitkan oleh Biro Perangkaan Australia (ABS) pada April, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak tujuh peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Mac.

Bendahari Jim Chalmers berkata Australia telah melepasi kemuncak krisis inflasi tetapi tekanan kos sara hidup akan berterusan.

-- BERNAMA