KAHERAH: Qatar kembali memainkan peranan sebagai pengantara dalam rundingan gencatan senjata Gaza, seperti diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, semasa pembukaan Forum Doha ke-22 pada Sabtu.

Langkah ini diambil selepas Qatar menghentikan usaha pengantaraannya hampir sebulan lepas dengan alasan kekurangan “kesungguhan” daripada pihak-pihak terlibat dalam rundingan.

Agensi Anadolu melaporkan Sheikh Mohammed menegaskan bahawa keputusan Qatar untuk kembali ke meja rundingan didorong oleh momentum baharu, terutamanya selepas pemilihan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri Qatar turut menekankan krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza, yang kesannya turut dirasai di Lubnan dan Syria. Beliau menyeru agar segala usaha dilaksanakan untuk menamatkan penderitaan rakyat Gaza.

Forum Doha 2024 yang berlangsung selama dua hari di Doha dengan tema “Inovasi Yang Tidak Dapat Dielakkan” dijangka menghimpunkan lebih 4,500 peserta dari lebih 150 negara, termasuk tujuh ketua negara, tujuh perdana menteri, dan 15 menteri luar, menurut butiran rasmi.

Usaha pengantaraan yang diterajui Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar untuk mencapai perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas telah gagal disebabkan keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menghentikan konflik yang sedang berlangsung.

Israel terus melancarkan perang yang disifatkan sebagai genosid ke atas Gaza, menyebabkan lebih 44,600 kematian, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober 2023.

Bulan lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakannya di Gaza.

-- BERNAMA