Presiden Iran, Hassan Rouhani membatalkan rancangan untuk menyekat WhatsApp selepas pelan itu mencetuskan perselisihan dalam pentadbiran beliau, lapor media republik Islam itu.

Akhbar harian Sharq melaporkan bahawa Rouhani telah mengarahkan cadangan untuk menyekat akses
kepada perkhidmatan mesej percuma itu dihentikan.

"Isu mengharamkan WhatsApp telah dibangkitkan. Presiden telah mengarahkan (rancangan itu) dihentikan," kata laporan itu memetik Menteri Telekomunikasi Mahmoud Vaezi.

"Sehingga kita ada ganti kepada laman seperti ini, kerajaan membantah usaha menyekatnya," tambah beliau.

Menurut pegawai kementerian itu, sekatan itu telah diluluskan oleh jawatankuasa penapisan tetapi masih belum dilaksanakan.

Rouhani sebelum ini berkempen dengan janji toleransi yang lebih luas kepada media, sosial dan budaya dan janjinya itu membantu beliau mengalahkan lawannya yang konservatif dalam pilihan raya presiden tahun lalu.

Kerajaannya bagaimanapun berdepan tentangan daripada kelompok garis keras yang membantah kelonggaran ke atas penapisan yang ketat.

Iran sebelum ini kerap menyekat jaringan sosial media termasuk Twitter dan Facebook selain beberapa laman web yang dianggap bertentangan dengan Islam dan semangat Revolusi Islam 1979.