Menurut Anura Kumara Dissanayake, rundingan bertujuan memohon pelan penyelamatan ekonomi bernilai AS$2.9 bilion.
Perkara ini dimaklumkan beliau dalam satu siaran televisyen.
"Perubahan yang kita cari melibatkan banyak langkah yang akan mengambil masa. Namun, mencapai kestabilan dan keyakinan dalam ekonomi semasa adalah penting.
"Kami merancang untuk memulakan rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta-merta dan meneruskan aktiviti berkaitan kemudahan kredit lanjutan.
"Di samping itu, untuk memajukan program penstrukturan semula hutang, kami sedang berunding dengan pemiutang yang berkaitan untuk mempercepatkan proses dan mendapatkan pelepasan hutang yang diperlukan," katanya..
Dissanayake memenangi pemilihan presiden selepas mendapat sokongan ribuan rakyat, berhubung janjinya untuk memotong cukai, melawan rasuah dan mengurangkan kos sara hidup.
Beliau berusaha untuk merundingkan semula sasaran hasil IMF, dengan tujuan mengurangkan cukai pendapatan yang tinggi dan mengarahkan dana ke program kebajikan bagi mereka yang paling terkesan oleh krisis kewangan yang berterusan.
Dissanayake membubarkan Parlimen pada Selasa dan berharap untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam dewan yang mempunyai 225 ahli apabila Pilihan Raya Umum diadakan pada 14 November.
Gabungannya hanya memegang tiga kerusi dalam Parlimen yang dipilih pada Ogos 2020.
Kekurangan matawang asing yang kritikal menyebabkan ekonomi Sri Lanka mengalami krisis kewangan yang mendalam dua tahun lalu, mengakibatkan inflasi melonjak setinggi 70 peratus pada September 2022 dan menyebabkan negara itu gagal membayar hutang luar negaranya.