NEW YORK: Sebuah potret bekas Perdana Menteri United Kingdom Winston Churchill yang dicuri dari sebuah hotel mewah di Ottawa, ditemukan di Itali dan akan dikembalikan akhir bulan ini, menurut pihak berkuasa Kanada pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Potret "The Roaring Lion", sebuah hasil fotografi oleh Yousuf Karsh, dilaporkan dicuri dari Fairmont Chateau Laurier pada Ogos 2022, kata polis Ottawa dalam satu kenyataan.

Polis memaklumkan bahawa potret itu didapati dijual melalui rumah lelong di London kepada seorang pembeli di bandar Genoa, utara Itali.

Kedua-dua individu itu tidak menyedari bahawa karya itu dicuri.

Seorang lelaki berusia 43 tahun dari wilayah Ontario, Kanada ditahan pada April dan didakwa atas kesalahan mencuri serta menjual potret itu.

Perkhidmatan Polis Ottawa menjelaskan bahawa pembeli potret itu akan "menyerahkan potret itu secara rasmi kepada Perkhidmatan Polis Ottawa di Rom akhir bulan ini."

Potret "The Roaring Lion" akan dipamerkan semula sebagai "potret bersejarah yang terkenal" di Fairmont Chateau Laurier.

-- BERNAMA