Polis Yogyakarta menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat serangan tembakan ke atas kediaman bekas Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat, Amien Rais, lapor portal berita Republika.

Siasatan setakat ini mendapati senjata yang digunakan dalam serangan itu adalah senjata buatan sendiri kerana kelongsong peluru yang ditemui menunjukkan peluru yang sudah digunakan sebelum ini.

"Kelongsong peluru yang ditemukan di tempat kejadian keadaannya sudah tidak sesuai dengan standard kilang," kata Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Istimewa Yogyakarta, Anny Pujiastuti seperti dipetik oleh portal berita itu.

Seorang lelaki bermotosikal yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke atas kereta milik bekas speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat Indonesia, Amien Rais pada awal Khamis.

Tembakan itu mengenai bahagian kanan kenderaan tersebut yang diletakkan di halaman rumah Amien di Yogyakarta.

Semasa kejadian, Amien yang kini merupakan penasihat kepada Parti Amanat Nasional (PAN) sedang tidur di rumahnya. Tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian yang berlaku lebih kurang pukul 2 pagi itu.

Dalam pada itu, pasukan penyiasat turut meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar tempat kejadian.

Republika melaporkan setakat ini pasukan penyiasat itu sudah merakamkan kenyataan daripada lima saksi termasuk Amien sendiri.

Motif serangan itu yang dikecam keras oleh banyak pihak di Indonesia masih belum diketahui.