DHAKA: Polis trafik menyambung semula tugas di jalan raya dan lebuh raya utama di Dhaka pada Isnin selepas mogok selama seminggu berikutan kejatuhan pentadbiran Sheikh Hasina akibat protes, lapor Xinhua.

Mereka kembali bertugas di jalan raya setelah wakil mereka menamatkan mogok susulan mesyuarat di Kementerian Dalam Negeri pada Ahad.

Balai polis juga dibuka semula di Dhaka dan tempat lain di seluruh negara pada Isnin, namun dengan perkhidmatan yang terhad.

Selepas mesyuarat pada Ahad, seorang pegawai polis Asaduzzaman Jewel memberitahu pemberita bahawa jaminan telah diberikan kepada pasukan polis bahawa ia akan disusun semula dengan membentuk suruhanjaya bebas untuk memastikan polis tidak boleh digunakan oleh mana-mana parti politik.

Sejak Hasina meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 5 Ogos, pelajar telah mengambil alih tugas polis trafik.

Lebih 400 balai polis dilaporkan diserang dengan beberapa daripadanya dibakar semasa protes itu.

Beberapa anggota polis telah diserang atau dibunuh di pelbagai bahagian negara, termasuk di Dhaka. Ramai yang tidak kembali bekerja kerana ketakutan.

Persatuan Pekerja Bawahan Polis Bangladesh mengumumkan mogok tanpa had demi keselamatan mereka pada 6 Ogos . - BERNAMA