Polis Manila mengharap kemenangan Rodrigo Duterte dalam pilihan raya presiden negara itu akan dapat membela nasib mereka, yang selama ini tidak mempunyai sokongan kewangan yang cukup daripada pemerintah, lapor Reuters.

Pasukan polis di bandar raya berkenaan tidak cukup dana hinggakan pegawai polis perlu membeli peluru sendiri, malah perlu menumpang kereta mayat untuk ke lokasi jenayah kerana tiada kenderaan rasmi sendiri.

Harapan itu disuarakan berikutan ikrar Duterte dalam kempen pilihan raya baru-baru ini yang mahu habis-habisan membanteras jenayah, rasuah dan penyalahgunaan dadah.

Tokoh politik bermulut celupar itu juga berjanji untuk meningkatkan standard kepolisan seperti di Davao.

Davao dahulunya sebuah bandar yang mempunyai kadar jenayah tinggi. Namun ketika Duterte menjadi Datuk Bandar di situ selama 22 tahun, Davao menjadi satu-satunya bandar di seluruh Filipina yang memiliki dan mengendalikan perkhidmatan panggilan kecemasan 911.

Mengikut rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Filipina mencatatkan kes jenayah dadah metamfetamin tertinggi di Asia Timur.

Selain itu, kadar jenayah di negara kepulauan itu meningkat lebih daripada dua kali ganda daripada 319,441 kes pada 2010, menjadi 675,816 kes pada tahun lalu.

Separuh daripada jumlah itu adalah jenayah serius, sementara kes rogol meningkat sehingga 120 peratus.

Pihak polis bagaimanapun berkata statistik itu disebabkan jenayah lebih mudah dikenal pasti berikutan pemasangan sistem kamera litar tertutup di banyak kawasan dalam bandar selain sistem aduan melalui pesanan ringkas (SMS).

Ketua Polis Bahagian Jenayah Daerah, Kapten Rommel Anicete, memberitahu bahawa dia dan anggotanya perlu membeli peluru sendiri sejak tahun 90-an.

Mereka juga membahagikan kos membaik pulih alat pendingin hawa selain berkongsi komputer yang usang. Lebih memeranjatkan, mereka juga sering kehabisan kertas untuk tujuan mencetak.

Selain itu, menurut Anicete, mereka kekurangan kenderaan rasmi polis untuk membuat rondaan. Jika menggunakan motosikal pun, segala kos minyak dan kerja baik pulih ditanggung sendiri.

Filipina mempunyai seorang anggota polis bagi setiap 651 orang.

Berbanding negara jiran, Thailand mempunyai nisbah polis kepada orang awam 1:302, manakala Malaysia dengan nisbah 1:267.