WASHINGTON: Pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2024 kini bermula di peringkat primari presiden yang menyaksikan rakyat Iowa bersedia untuk memilih calon presiden yang akan mewakili Republikan, lapor Xinhua.

Primari presiden bermaksud persidangan peringkat bawahan dan atasan sesebuah parti.

Persidangan ini diadakan untuk memilih perwakilan yang akan mengundi calon presiden dari parti tertentu yang akan bertanding dalam pilihan raya presiden di peringkat pusat.

Kokus Republikan berhimpun di gim sekolah, gereja dan pusat komuniti di seluruh Iowa di negeri Midwestern ketika cuaca sejuk melampau melanda yang mencetuskan kebimbangan keadaan itu mungkin akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

"Hari ini menjadi hari kokus Iowa paling sejuk dalam sejarah sejak tahun 1972," tulis pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Des Moines di X.

Cuaca sejuk turut menjejaskan kempen presiden di Iowa dengan beberapa acara kempen terpaksa dibatalkan.

Bekas presiden Donald Trump yang berusaha untuk kembali ke Rumah Putih dilihat mendahului dengan margin yang besar dalam tinjauan pendapat di peringkat nasional dan negeri Iowa.

Calon presiden Republikan yang lain termasuk bekas duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Nikki Haley, Gabenor Florida Ron DeSantis, usahawan Vivek Ramaswamy dan bekas gabenor Arkansas Asa Hutchinson.

-- BERNAMA