NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi yang sedang dalam lawatan ke Ukraine pada Jumaat, mengundang Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky untuk melawat India.

Modi sedang melakukan lawatan pertama perdana menteri India ke Ukraine ketika India cuba mencari keseimbangan dalam hubungannya dengan sekutu lama Rusia dan Ukraine yang pro-Barat di tengah-tengah konflik ketenteraan antara kedua-dua negara jiran itu.

Zelensky sebelum ini mengkritik Modi dengan keras pada Julai kerana memeluk Presiden Vladimir Putin semasa pemimpin India itu mengunjungi Rusia untuk sidang kemuncak kepimpinan tahunan mereka.

Ukraine dan sekutunya di Barat tidak gembira dengan perdagangan besar India dengan Rusia, termasuk import minyak yang semakin meningkat.

Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, dalam satu taklimat media bercakap mengenai perbincangan antara Modi dan Zelensky di Kyiv.

"Terdapat banyak perkara yang kami katakan, yang didengari beliau (Zelensky) dengan penuh perhatian. Beliau tahu bahawa niat kami terhadap Ukraine adalah baik, beliau tahu bahawa kami berhasrat agar konflik ini berakhir," kata Jaishankar.

Menteri itu berkata Modi telah mengundang Zelensky untuk melawat India.

"Kami menjangkakan pada suatu ketika, mengikut kelapangan beliau, Presiden Zelensky akan melawat India," katanya.

-- BERNAMA