NEW DELHI: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India berjaya meraih potensi perdagangan dan pelaburan masing-masing RM8 bilion dan RM4.5 bilion daripada hasil pertemuan dengan pemain-pemain utama industri negara itu.  

Beliau berkata,  komitmen itu melibatkan sektor minyak sawit, bahan kimia, minyak dan gas serta bahan alat ganti kapal terbang.

"Pada masa sama, tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan dengan perniagaan (B2B) di kedua-dua negara dimeterai selain lapan MoU antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dimeterai sewaktu lawatan rasmi ini.

"Nilai perdagangan Malaysia-India tahun 2023 mencecah RM72.31 bilion dan sebanyak 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac 2024 dengan nilai RM4.5 bilion, mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan.

"Layanan yang amat baik diberikan oleh kerajaan republik India, termasuk daripada Perdana Menteri, Narendra Modi dan saya memanjangkan jemputan kepada Presiden dan Perdana Menteri India untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bagi meneruskan lagi momentum hubungan dua hala," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Terdahulu, Anwar mengadakan mesyuarat meja bulat bersama dengan pemain dan peneraju pelbagai industri dari pelbagai sektor seperti farmaseutikal, kimia dan elektronik, selain bidang seperti pembuatan insulin, logistik dan farmaseutikal.

Acara terakhir Perdana Menteri sebelum berlepas pulang ialah pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam iaitu Maulana Syed Ahmed Bukhari dari Masjid Jama dan Maulana Mahmood A Maddani dari Jamiat Ulama-i-Hind.

Beliau disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Menteri Digital, Gobind Singh.

[TERKINI] Sidang media penutup PM Anwar sempena lawatan rasmi di India