Sekurang-kurangnya 16 maut selepas sebuah pesawat membawa 58 penumpang terbang rendah dan melanggar jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai di luar bandar Taipei pada Rabu.

Dilaporkan berpuluh-puluh lagi masih terperangkap di dalamnya, menurut berita televisyen tempatan.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 ini sedang terbang dalam satu perjalanan domestik apabila ia terlanggar sebuah jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai, menurut laporan itu.

Kumpulan penyelamat sedang cuba menyelamatkan penumpang yang terperangkap.

Taiwan Crash
Detik-detik sebelum pesawat malang itu terhempas sempat dirakam oleh orang ramai - Foto Taiwan CTITV

Rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat berdiri di atas serpihan bangkai pesawat yang besar cuba untuk menarik penumpang keluar dari fiuslaj dengan tali.

Mereka yang telah diselamatkan - termasuk dua kanak-kanak - dibawa ke pantai.

Kesemua mangsa yang terselamat dibawa ke hospital, menurut laporan.

Rakaman video amatur yang tersebar di media sosial menunjukkan pesawat TransAsia ATR 72-600 itu melanggar jambatan serta sebuah teksi sebelum terjunam ke dalam sungai.


Kemalangan pada kira-kira jam 11:00 pagi (0300 GMT) itu berlaku sejurus selepas pesawat malang tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Songshan di Taipei dalam perjalanannya ke Pulau Kinmen.

Julai lalu, 48 orang terbunuh dalam satu lagi nahas melibatkan pesawat domestik TransAsia yang terhempas ke kawasan perumahan semasa ribut di Pulau Penghu di Taiwan.