WASHINGTON: Lebih 70 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) dijangka terkesan akibat ribut musim sejuk besar yang berpotensi menyebabkan ribut dan hujan salji tebal dan suhu paling sejuk dalam lebih satu dekad.

Ribut yang bermula di tengah AS ini akan bergerak ke arah timur dalam beberapa hari akan datang, menurut Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS).

Peramal cuaca AccuWeather, Dan DePodwin, berkata: "Ini mungkin menyebabkan Januari paling sejuk untuk AS sejak 2011."

Kata beliau juga, "suhu yang jauh di bawah purata sejarah" mungkin bertahan selama seminggu.

Suhu rendah ini juga akan dirasai di pantai timur, di mana ribut dijangka tiba menjelang Ahad malam.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa mengumumkan darurat di beberapa bahagian di AS iaitu Kentucky, Virginia, Kansas, Arkansas, dan Missouri sementara di kawasan yang jarang mengalami cuaca sejuk melampau, termasuk Mississippi dan Florida, telah diberi amaran tentang keadaan berbahaya yang bakal berlaku.

Sebanyak 30 negeri telah diletakkan di bawah amaran cuaca, dengan ribut dijangka bergerak ke arah timur merentasi negara.

Bandar-bandar seperti Washington DC, Baltimore, dan Philadelphia sedang bersiap sedia menghadapi keadaan bersalji dan berais dari Ahad hingga ke Isnin.

Angin sejuk melampau dijangka melanda sebahagian Kansas tengah dalam beberapa hari akan datang, apabila ribut musim sejuk terus melintasi AS.

Pejabat Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS) di Wichita - sebuah bandar utama di selatan-tengah Kansas - melaporkan angin sejuk sehingga -20°F (-29°C) dan ke bawah dijangka berlaku.

Menurut peta cuaca yang dikongsi NWS di platform X, angin paling sejuk dijangka dirasai di bandar Russell dan Salina pada pagi Isnin.

Sementara itu, suhu di tempat lain telah mula menurun.

Dalam satu hantaran berasingan, NWS Washington memaklumkan, pejabat mereka di berhampiran Lapangan Terbang Dulles - hab perjalanan antarabangsa utama berhampiran pusat bandar Washington DC - telah merekodkan suhu serendah 13.7°F (-10°C). 

Sementara itu, syarikat penerbangan American Airlines telah mengeluarkan amaran perjalanan untuk 46 lapangan terbang berikutan ribut musim sejuk yang dijangka melanda bahagian tengah Amerika Syarikat dan pantai timur.

Amaran ini meliputi lapangan terbang di beberapa negeri termasuk Kansas, Missouri, Pennsylvania dan New Jersey.

Syarikat penerbangan itu telah menerbitkan senarai lengkap syarat untuk perubahan tiket.

American Airlines berkata, mereka mungkin boleh mengecualikan caj perubahan untuk pelanggan yang melakukan perjalanan ke dan dari lapangan terbang yang terjejas disebabkan potensi gangguan penerbangan.

Delta, Southwest, dan United Airlines turut menawarkan perkhidmatan serupa kepada pelanggan mereka. - Agensi