Menurut kenyataan lapangan terbang, pesawat Japan Airlines sedang bergerak di landasan itu apabila ia melanggar ekor pesawat Delta Airlines yang sedang diparkir pada kira-kira 10.17 pagi waktu tempatan (1817GMT), menyebabkan kedua-dua pesawat mengalami kerosakan.
Pasukan Bomba dan Polis Pelabuhan Seattle serta pasukan operasi lapangan terbang segera bertindak balas terhadap insiden yang berlaku di laluan pergerakan pesawat.
"Pihak lapangan terbang sedang bekerjasama dengan kedua-dua syarikat penerbangan untuk menurunkan penumpang dengan selamat dan membawa mereka ke terminal," menurut kenyataan itu.
Kejadian itu memberi kesan minimum kepada operasi lapangan terbang kerana berlaku di laluan pergerakan pesawat, sambil menasihatkan penumpang untuk menyemak status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing," katanya lagi dalam X.
Delta dalam satu kenyataan berkata pesawat Boeing 737 miliknya sedang menunggu giliran untuk proses nyahais sebelum penerbangan ke Puerto Vallarta, Mexico apabila insiden itu berlaku.
Sebanyak 142 orang berada dalam pesawat, dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan kru atau penumpang.
-- BERNAMA