SEOUL: Bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 telah meningkat dengan mendadak di Korea Selatan baru-baru ini di tengah-tengah kemunculan semula virus berkenaan pada musim panas di seluruh negara, kata pihak berkuasa kesihatan pada Jumaat.

Bilangan pesakit yang dimasukkan ke 220 hospital di seluruh negara kerana COVID-19 mencecah 861 orang pada minggu pertama Ogos, paras tertinggi sejak awal Februari, menurut laporan agensi berita Yonhap yang memetik kenyataan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Angka itu melonjak dengan cepat daripada 148 pada minggu kedua Julai kepada 226 pada minggu ketiga dan 475 pada minggu berikutnya.

Pihak berkuasa menjangkakan trend peningkatan ini akan berterusan hingga akhir bulan ini.

Gelombang terkini dicetuskan oleh subvarian KP.3 daripada varian omicron yang merebak dengan pantas, yang merangkumi 45.5 peratus daripada jumlah kes setakat Julai.

Daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital bulan ini, 65.2 peratus adalah mereka yang berumur 65 tahun ke atas, diikuti oleh 18.1 peratus yang berumur 50 hingga 64 tahun.

Walaupun terdapat peningkatan dalam bilangan pesakit, lebih daripada 90 peratus daripada mereka hanya mengalami gejala ringan dan Korea Selatan mampu menangani situasi ini di bawah sistem perubatan semasa.

Namun, kerajaan memutuskan untuk memperhebat pemantauan terhadap warga emas dan kumpulan berisiko tinggi lain serta menggandakan usaha untuk memastikan bekalan ubat-ubatan dan kit ujian yang stabil.

Menurut Yonhap, kempen pemvaksinan juga akan disambung semula pada Oktober, dan kumpulan berisiko tinggi akan diberi vaksin secara percuma.

"Risiko jangkitan pernafasan meningkat pada musim panas kerana tempat tertutup tidak mempunyai pengudaraan yang mencukupi dan hubungan antara orang ramai boleh meningkat semasa cuti. Adalah penting untuk mematuhi peraturan kebersihan asas," kata Ketua KDCA Jee Young-mee.

-- BERNAMA