RIYADH: Persidangan Pihak-Pihak ke-16 (COP16) bagi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Memerangi Penggurunan atau Desertifikasi (UNCCD) bermula di sini pada Isnin, menyeru usaha global untuk memulihkan tanah dan meningkatkan daya tahan terhadap kemarau, lapor Xinhua.

Bertemakan "Tanah Kita. Masa Depan Kita," acara yang berlangsung sehingga 13 Dis ini merupakan pencapaian penting persidangan terbesar PBB yang memberi tumpuan kepada isu tanah setakat ini, selain menjadi COP pertama UNCCD yang diadakan di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian, Ibrahim Thiaw, Setiausaha Eksekutif UNCCD, menekankan kepentingan pemulihan tanah dengan menggambarkannya sebagai "antara alat paling berkesan untuk menangani beberapa cabaran terbesar zaman ini - perubahan iklim, ketidakamanan makanan, ketidaksamaan ekonomi, penghijrahan paksa dan juga ketidakstabilan global."

Menjelang 2050, sehingga 7.5 bilion orang akan merasai impak kemarau, kata setiausaha eksekutif itu, sambil menggesa tindakan segera diambil.

"Bersama-sama, kita boleh membalikkan trend kemerosotan tanah dan membina dunia yang lebih berdaya tahan terhadap kemarau," tegasnya.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab, Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi, Abdulrahman Abdulmohsen AlFadley berkata lebih daripada 3 bilion orang terkesan oleh kemerosotan tanah setiap tahun akibat kehilangan 100 juta hektar tanah, hutan dan padang rumput.

"Ini akan meningkatkan tahap penghijrahan, kestabilan dan keselamatan dalam kalangan banyak komuniti," katanya.

Semasa COP 16 yang sedang berlangsung, yang turut meraikan ulang tahun ke-30 UNCCD, delegasi dijangka membuat keputusan mengenai tindakan bersama untuk mempercepatkan usaha pemulihan tanah, meningkatkan rintangan terhadap kemarau dan ribut pasir, memulihkan kesuburan tanah serta meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan alam semula jadi menjelang 2030 dan seterusnya.

-- BERNAMA