PERMAISURI Jordan, Permaisuri Rania Al Abdullah, membalas jenaka bodoh majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, tentang si kecil malang Aylan Kurdi, dengan cara paling terhormat.

Menerusi akaun Twitter miliknya, Rania berkata Aylan mungkin akan bergelar doktor, guru atau seorang bapa yang penyayang seandainya dia tidak menemui ajal ketika dalam perjalanan mencari kehidupan yang lebih baik bersama keluarganya.


Ia merupakan balasan terhadap sindiran Charlie Hebdo yang baru-baru ini mengeluarkan lukisan kartun yang menggambarkan Aylan akan membesar menjadi seorang pesalah seksual.

Aylan menjadi objek majalah berkenaan sejak beberapa bulan lalu termasuk satu kartun yang memperlihatkan jasad Aylan terbaring berdekatan sebuah papan tanda McDonald's dengan kapsyen 'So close' (sangat dekat).

Kanak-kanak malang itu maut akibat lemas ketika dia dan keluarganya dari Syria dalam perjalanan ke Greece untuk melarikan diri.

Jasadnya kemudian dijumpai terdampar di sebuah pantai di Turki.

Imej menyayat hati Aylan itu kemudian menjadi viral dan menggemparkan seluruh dunia, sekali gus membangkitkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa pelarian Syria.