Sekurang-kurangnya 28 pengunjung termasuk kanak-kanak cedera selepas permainan ‘merry-go-round’ yang dinaiki mereka patah dua.

Dalam kejadian pada Sabtu di Taman Tema Mundopark, Sepanyol, kebanyakan mangsa terperangkap di bawah gerabak permainan berkenaan setelah ia patah, lapor Mirror.co.uk.

Pasukan penyelamat bergegas ke taman tema San José de la Rinconada yang terletak berhampiran Seville di Sepanyol sejurus menerima laporan.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tercampak dari permainan berkenaan dan mengalami kecederaan serius di kepala dan kaki.

Manakala seorang wanita pula cedera parah dan dibawa ke hospital sekitar jam 2 pagi waktu tempatan menggunakan helikopter.

Seramai sembilan mangsa dibawa ke hospital, manakala yang lain dirawat di tempat kejadian.

Polis sedang giat melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut media tempatan, Taman Tema Mundopark yang dibina pada tahun 2001 itu telah menjalani pemeriksaan keselamatan yang diperlukan bagi mendapat kelulusan.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan daripada Kecemasan 112 Andalusia, mereka ada menerima 112 rungutan daripada beberapa individu yang mendakwwa beberapa permainan di taman tema berkenaan berada dalam keadaan tidak stabil.