ISTANBUL: Recep Tayyip Erdogan menegaskan pejuang Hamas bukan organisasi pengganas, sebaliknya kumpulan pembebasan yang melancarkan pertempuran untuk melindungi tanahnya.

Presiden Turki itu turut mengesahkan tidak meneruskan rancangan untuk melawat Israel kerana rejim Zionis itu telah mengambil kesempatan daripada niat baik Turki.

"Hamas bukan pertubuhan pengganas tetapi kumpulan pembebasan, kumpulan Mujahidin yang berjuang untuk melindungi bumi dan rakyatnya.

"Saudara-saudara sekalian, kita (Turki) mempunyai niat yang baik tetapi ia (Israel) mengambil kesempatan daripada niat baik kita.

"Kita mempunyai rancangan untuk pergi ke Israel, tetapi ia dibatalkan. Kami tidak pergi," katanya ketika berucap kepada penggubal undang-undang parti pemerintah di Parlimen, pada Rabu seperti dilapor Reuters.

Erdogan menambah Israel mungkin sebuah organisasi kerana Barat berhutang banyak dengan negara itu, tetapi Turki tidak berhutang apa-apa dengan Israel.

Dalam masa yang sama, beliau juga meluahkan rasa sedih dengan sikap Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang menutup mata terhadap pembunuhan kejam kanak-kanak dalam konflik Israel-Palestin.

Turki turut menyifatkan tindakan negara-negara di luar rantau yang menyatakan sokongan kepada Israel, seolah-olah "menambah minyak ke api".

Justeru, Erdogan berkata Turki bersedia menjadi salah satu penjamin kepada pihak Palestin dengan sokongan kemanusiaan, politik serta ketenteraan.