KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kenyataan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang menyokong tindakan rejim zionis membedil wilayah Gaza di Palestin ketika ini.

Menerusi satu kenyataan, Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, Zelensky dianggap berat sebelah apabila menyifatkan penentangan Ukraine terhadap pencerobohan Rusia sebagai perjuangan rakyat, namun bersikap sebaliknya terhadap rakyat Palestin yang ditindas zionis Israel selama ini.

"ABIM merujuk kenyataan sokongan terbuka Zelensky ke atas Israel serta tuduhan perjuangan rakyat Palestin terutama Hamas menentang pencerobohan Israel sebagai pengganas.

"ABIM mengecam sikap Zelensky yang membela tindakan penceroboh rejim Zionis yang terus membedil wilayah Gaza di wilayah Palestin yang bergolak.

"Sedangkan dalam isu penentangan Ukraine terhadap pencerobohan Rusia, lagu yang didendangkan mereka adalah perjuangan rakyat Ukraine mempertahan tanah air mereka," kata Muhammad Faisal.

BACA: Presiden Ukraine tuduh Rusia sokong operasi Hamas 

Dalam pada itu, ABIM juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Gaza.

"ABIM menggesa agar Majlis Keselamatan PBB membuat ketetapan supaya rejim Zionis Israel menghentikan serangan ketenteraannya ke atas wilayah Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman PBB bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut.

"ABIM juga mendesak PBB menubuhkan serta merta Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi mendakwa jenayah perang yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin," tambahnya.