KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan memuji keputusan tegas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menyediakan langkah-langkah sementara bagi menangani isu genosid yang sedang berlaku di Gaza, Palestin.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata tindakan tegas itu mencerminkan komitmen majoriti warga dunia terhadap keadilan, hak asasi manusia dan kemanusiaan.

Beliau berkata kesemua langkah ini adalah penting ke arah menoktahkan penderitaan di Gaza dengan serta-merta dan membuka laluan ke arah keamanan yang berkekalan di wilayah itu.

"ABIM seterusnya menekankan kepentingan kritikan semua pihak terutama Israel dan sekutu-sekutunya iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom serta pihak-pihak lain yang memungkinkan perbuatan genosid, untuk mematuhi keputusan ICJ dan untuk Majlis Keselamatan memastikan pematuhan segera terhadap langkah-langkah sementara yang digariskan.

"Kita berharap keputusan ini akan menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah dan selamat untuk penduduk Gaza, dan kami mengulangi gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta di Gaza," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

-- BERNAMA