TOKYO: Sekumpulan penyelidik Jepun mengumumkan bahawa mereka membangunkan model pembelajaran mendalam untuk meramalkan risiko permulaan kanser daripada imej hati berlemak, lapor Jiji Press.


Ringkasan AI
  • Penyelidik Jepun dari Universiti Tokyo membangunkan model pembelajaran mendalam menggunakan imej digital tisu hati berlemak untuk meramalkan risiko permulaan kanser hati dengan ketepatan 82.3%.
  • Model ini dilatih menggunakan imej daripada 2,432 orang yang menjalani pemeriksaan tisu hidup di sembilan institusi perubatan, termasuk 46 pesakit kanser hati dan 639 individu yang tidak menghidap kanser hati dalam tempoh tujuh tahun.
  • Penyelidik percaya model ini boleh dikembangkan untuk meramalkan perkembangan kanser daripada imej biopsi mukosa perut dan usus, dengan kertas penyelidikan diterbitkan dalam Journal of Hepatology.


Pasukan itu, yang diketuai oleh Universiti Tokyo, mencipta model dengan menggunakan beberapa imej digital tisu hati berlemak yang dikumpulkan daripada 46 orang yang menghidap kanser hati dalam tempoh tujuh tahun biopsi manakala 639 yang lain tidak.

Bagi projek aplikasi kecerdasan buatan (AI), para penyelidik mengumpulkan imej itu daripada sejumlah 2,432 orang yang telah menjalani pemeriksaan tisu hidup di sembilan institusi perubatan di negara berkenaan.

Model itu telah membuktikan bahawa ia boleh meramalkan risiko permulaan kanser dengan ketepatan 82.3 peratus, berbanding 78.2 peratus untuk analisis manual berasaskan biopsi, kata penyelidik.

Mereka juga melihat AI menilai displasia sel dan penurunan pemendapan lemak walaupun perkembangan hati lemak sebagai faktor risiko kanser dan meramalkan kebarangkalian tinggi fibrosis ringan berkembang menjadi kanser.

"Adalah mungkin juga untuk mencipta model pembelajaran mendalam untuk meramalkan perkembangan kanser daripada imej yang dikumpulkan melalui biopsi mukosa perut dan usus," kata ahli kumpulan Ryosuke Tateishi, profesor bersekutu di fakulti perubatan universiti itu.

Kertas penyelidikan pasukan berkenaan telah diterbitkan dalam edisi dalam talian, Journal of Hepatology, sebuah majalah perubatan Amerika Syarikat yang khusus.

-- BERNAMA