BEIRUT: Utusan Amerika Syarikat (AS) ke Lubnan Amos Hochstein berkata pada Rabu bahawa penyelesaian diplomatik untuk mengelakkan peperangan antara Israel dan Hizbullah masih "boleh dicapai," lapor Agensi Anadolu.

Konflik antara Hizbullah dan Israel telah berlarutan terlalu lama, kata Hochstein selepas pertemuannya dengan Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, di Beirut.

Beliau berkata penyelesaian diplomatik adalah "kedua-duanya boleh dicapai dan mendesak."

Utusan itu menyatakan bahawa mencapai gencatan senjata di Gaza akan mewujudkan keadaan yang sesuai untuk meredakan ketegangan antara Lubnan dan Israel.

"Berri dan saya bersetuju bahawa tiada lagi masa untuk dibazirkan dan tiada alasan yang kukuh daripada mana-mana pihak untuk sebarang penangguhan lagi," kata Hochstein.

Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati berkata pada awal Rabu pada satu sesi Kabinet bahawa negara itu perlu berhati-hati dengan peluang untuk usaha diplomatik yang bertujuan menghalang serangan Israel ke atasnya.

Kebimbangan terhadap perang besar-besaran antara Israel dan Hizbullah semakin meningkat di tengah-tengah pertukaran tembakan rentas sempadan yang telah berlangsung selama beberapa bulan, terutamanya dengan ancaman Hizbullah untuk bertindak balas secara ketenteraan selepas pembunuhan komander tertinggi mereka, Fouad Shukr, dalam serangan udara Israel di Beirut pada 30 Julai.

Peningkatan ketegangan ini berlaku di tengah-tengah serangan besar-besaran Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang telah mengorbankan hampir 40,000 orang sejak Oktober lepas.

-- BERNAMA