Gara-gara juruterbang terlupa menghidupkan suis mengawal tekanan kabin, lebih 30 penumpang mengalami pendarahan pada hidung dan telinga dalam insiden menggemparkan, hari ini.

Ketika kejadian pesawat Jet Airways 9W 697 yang membawa 166 penumpang itu dalam perjalanan dari Mumbai ke Jaipur.

Rakaman dikongsi penumpang menerusi Twitter menunjukkan topeng oksigen jatuh berjuntaian dan mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.


Pesawat itu kemudiannya berpatah balik ke Mumbai dan penumpang yang mengalami sakit telinga dan hidung berdarah turut diberi rawatan sementara penerbangan alternatif disediakan untuk mereka.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan memaklumkan kru terbabit telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan dan mereka turut kesal dengan kejadian itu yang telah menyebabkan ketidakselesaan terhadap penumpang.

Januari lalu dua juruterbang Jet Airways digantung tugas selepas didakwa bertengkar di dalam kokpit ketika penerbangan dari London ke Mumbai yang membawa 324 penumpang. - Agensi