Prosiding rasmi yang mungkin membawa kepada perbicaraan jenayah jika penyiasat percaya terdapat bukti yang mencukupi, boleh dilancarkan terhadap Durov selepas sesi soal siasat oleh hakim.
Penahanan Durov,yang dikehendaki di Perancis selepas tiba di Lapangan Terbang Le Bourget, Paris pada Sabtu dari Azerbaijan, dilaporkan dilanjutkan pada Ahad malam.
Penahanannya berlaku di tengah-tengah siasatan awal mengenai kekurangan penyederhanaan dan kerjasama Telegram dengan pihak penguat kuasa undang-undang berhubung kesalahan pengedaran dadah, penipuan, dan kesalahan berkaitan penderaan kanak-kanak di platform media sosial itu, menurut media tempatan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas penahanan Durov, Telegram berkata perkhidmatan pesanan dalam taliannya mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah (EU) dan tidak melanggar sebarang peraturan.
Menurut pihak pendakwa, pihak berkuasa Perancis telah melancarkan siasatan awal terhadap Durov sejak beberapa waktu lepas, beliau disyaki terlibat dalam pengedaran dadah, penipuan dan beberapa kesalahan berkaitan penderaan kanak-kanak akibat kekurangan campur tangan di Telegram dan kerjasama yang tidak mencukupi dengan pihak berkuasa.
Pada awalnya tidak jelas mengapa Durov, yang dilahirkan di Rusia dan memegang kewarganegaraan Perancis telah melakukan perjalanan ke Paris semasa dikehendaki di Perancis. Telegram, aplikasi pesanan yang popular telah lama menghadapi dakwaan tidak mengambil pendirian yang cukup tegas terhadap ucapan kebencian dan aktiviti haram lain. - BERNAMA