PARIS: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) aplikasi Telegram, Pavel Durov ditahan di Lapangan Terbang Borget di luar Paris, Perancis pada Sabtu.

Memetik laporan media tempatan negara itu, Durov sedang dalam perjalanan menaiki jet peribadinya sebelum ditahan.

Menurut sumber yang dipetik, beliau telah dikenakan waran tangkap di Perancis sebagai sebahagian daripada siasatan awal polis.

Kata sumber itu lagi, penyiasatan tertumpu kepada kekurangan pemantauan di Telegram dan polis menganggap situasi itu membenarkan aktiviti jenayah berterusan tanpa dihalang pada aplikasi pemesejan itu.

Sementara itu, Telegram tidak memberikan sebarang komen berhubung laporan berkenaan manakala Kementerian Dalam Negeri Perancis dan pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tangkapan berkenaan.

Durov dilaporkan dalam perjalanan dari Azerbaijan dan telah ditahan sekitar jam 8 malam waktu tempatan.
Telegram berpangkalan di Dubai dan diasaskan oleh Durov yang merupakan kelahiran Rusia.

Durov meninggalkan Rusia pada 2014 selepas beliau enggan mematuhi tuntutan untuk menutup komuniti pembangkang di platform media sosial VK, yang kemudiannya dijual.

Beliau dianggarkan Forbes mempunyai kekayaan sebanyak AS$15.5 bilion.

Durov juga pernah dilaporkan beberapa kerajaan telah berusaha untuk menekannya tetapi aplikasi itu yang kini mempunyai 900 juta pengguna aktif harus kekal sebagai "platform neutral" dan bukan "pemain dalam geopolitik." - Agensi