Penduduk bandar Ferreñafe tidak menjadikan wang ringgit dan kekurangan sumber sebagai alasan untuk tidak memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Mereka sebaliknya bekerjasama untuk membantu Don Luciano Chumán, seorang gelandangan yang sudah bertahun merayau di sekitar bandar itu.
Foto Chumán diambil dari laman Facebook Municipalidad Provincial de Ferreñafe.
Gambar-gambar yang dikongsi penduduk di laman Facebook rasmi bandar tersebut segera mendapat perhatian media di seluruh dunia.
Lelaki tua berusia 83 tahun itu tidak berumah, tidak pernah mandi dan pakaiannya sudah bertahun tidak ditukar.
Masyarakat di situ bukan sahaja membantu membersihkan Chumán dan memberikannya makanan, tetapi juga membawa lelaki itu ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
Tidak terhenti di situ, penduduk juga menubuhkan satu tabung khas untuk mengutip derma bagi membantu Chumán meneruskan kehidupan. Derma akan dikutip secara berterusan memandangkan Chumán sudah uzur dan tidak mampu lagi bekerja.