DHAKA: Bangladesh merupakan negara paling tercemar di dunia, dan pencemaran udara zarah halus (PM2.5) memendekkan jangka hayat purata penduduk Bangladesh sebanyak 4.8 tahun berbanding apa yang sepatutnya jika garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 ug/m3 dipatuhi.

United News of Bangladesh (UNB) melaporkan, memetik laporan baharu di peringkat global yang dikeluarkan pada Rabu, bahawa beberapa kawasan di Bangladesh mengalami keadaan yang jauh lebih buruk, seperti Daerah Gazipur dan Narsingdi dengan pencemaran udara memendekkan hayat penduduk lebih daripada enam tahun.

Kesemua 166.4 juta penduduk Bangladesh tinggal di kawasan yang mana paras purata tahunan pencemaran zarah halus melebihi garis panduan WHO, dan 96.8 peratus daripada populasi negara itu tinggal di wilayah yang tidak mencapai piawaian nasional Bangladesh iaitu 35 ug/m3.

Malah, di daerah yang paling kurang tercemar seperti Sylhet, pencemaran zarah halus adalah 6.7 kali ganda lebih tinggi daripada garis panduan WHO.

Sementara pencemaran zarah halus mengurangkan jangka hayat purata rakyat Bangladesh sebanyak 4.8 tahun, penggunaan tembakau pula mengurangkan dua tahun, manakala kekurangan zat pemakanan kanak-kanak dan ibu mengurangkan 1.4 tahun.

Pada 2022, pencemaran zarah halus adalah 22 peratus lebih rendah berbanding 2021 - satu kontras berbanding trend peningkatan antara 2015-2021.

Jika penurunan pada 2022 berterusan, seorang penduduk Bangladesh secara purata dijangka dapat hidup setahun lebih lama berbanding jika mereka terdedah kepada paras pencemaran purata dalam dekad terakhir.

Di beberapa daerah paling tercemar di negara ini yang meliputi Dhaka dan Chittagong, 75.9 juta penduduk atau 45.6 peratus daripada populasi Bangladesh dijangka kehilangan purata 5.4 tahun jangka hayat berbanding garis panduan WHO.

Jika Bangladesh berjaya mengurangkan pencemaran zarah halus untuk memenuhi garis panduan WHO, penduduk di Dhaka - daerah paling ramai penduduk di Bangladesh - akan memperoleh tambahan 5.6 tahun jangka hayat. Di Chittagong - daerah kedua paling ramai penduduk di negara itu - penduduk akan memperoleh tambahan 5.2 tahun.

Meskipun paras pencemaran di Dhaka dan Chittagong hanya mencapai piawaian nasional Bangladesh, jangka hayat di daerah-daerah ini dijangka meningkat masing-masing sebanyak 2.6 dan 2.3 tahun.

-- BERNAMA