Selepas lima dekad hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Cuba terputus, satu era baru antara kedua-dua negara kembali terjalin pada Isnin.

Antara langkah pertama dalam membina semula hubungan antara kedua-dua negara itu adalah pembukaan semula kedutaan di ibu negara masing-masing.

Pada 17 Disember lalu AS dan Cuba melakar sejarah susulan pengumuman Presiden AS Barack Obama dan Presiden Cuba Raul Castro.

Perkembangan pada Isnin adalah hasil rundingan yang berlangsung selama dua tahun.

Sementara itu, bagi rakyat Cuba mereka berharap hubungan baru ini dapat meningkatkan prospek ekonomi Negara.

“Saya harap hubungan kedua-dua negara akan membawa masa depan yang lebih baik untuk Cuba, dan yang paling penting adalah menghapuskan sekatan,” kata seorang warga Cuba, Angela.

Tambah Gerard, “Pembangunan ini tidak mustahil, orang-orang di Cuba akan mempunyai gaji yang baik. Segala peluang untuk pembangunan akan datang kepada Cuba.

Kedutaan AS di Havana akan dibuka semula namun bendera Amerika akan dikibarkan bulan depan sempena lawatan Setiausaha Negara John Kerry ke negara itu.