DHAKA: Polis Bangladesh terpaksa melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penyokong parti pembangkang yang melempar batu dan menutup jalan-jalan utama di ibu kota Dhaka dalam usaha mereka menuntut pengunduran Perdana Menteri.

Menurut laporan polis dan media tempatan, penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) juga bertindak agresif dengan membakar bas dan meletupkan bom petrol pada hari Sabtu semasa mendesak menuntut agar Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan.

Selain itu, penyokong-penyokong BNP juga berharap pada pilihan raya umum akan datang, yang dijangka berlangsung awal tahun depan, diadakan di bawah kerajaan sementaras (caretaker government) yang neutral.

Parti ini berada dalam kekacauan sejak pemimpinnya, Khaleda Zia dipenjara pada tahun 2018 atas tuduhan rasuah.

Penyokong-penyokong parti itu telah mengadakan himpunan protes yang lebih besar dalam beberapa bulan kebelakangan ini termasuk pada hari Jumaat lalu yang menarik puluhan ribu peserta yang meluahkan kemarahan berhubung kenaikan kos sara hidup.

Pada hari Sabtu, BNP melaporkan bahawa puluhan penyokongnya cedera, sementara polis dipetik sebagai berkata, sekurang-kurangnya 20 anggota polis terluka dalam rusuhan tersebut.

Tidak ketinggalan, 90 orang ditahan, sementara dua pemimpin BNP kanan juga ditangkap oleh polis dan kemudian dibebaskan semula, kata pihak polis.

Dalam perkembangan sama, pemimpin kanan BNP, Abdul Moyeen Khan, mengutuk tindakan polis sebagai "tidak adil".

"Tindakan rusuhan yang berlaku hari ini membuktikan sifat autokratik rejim pemerintahan dan dengan jelas mendedahkan motif mereka untuk kekal berkuasa melalui pilihan raya yang dirampas," katanya kepada agensi berita Reuters sambil mendakwa polis cuba membataskan "hak asas rakyat untuk berhimpun."



Sementara itu, jurucakap Polis Metropolitan Dhaka, Faruq Ahmed berkata: "Pasukan kami diserang tanpa sebab. Mereka hanya cuba melambatkan aliran trafik.

"Kami terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah untuk mengawal keadaan," katanya.

Rakaman televisyen menunjukkan polis menggunakan cota untuk memukul peserta tunjuk perasaan di jalan.



Susulan tunjuk perasaan pada Sabtu, parti pemerintah Liga Awami pula menggesa perhimpunan balas diadakan pada hari Ahad, manakala pihak pembangkang menyeru untuk lebih banyak pergerakan popular pada hari Isnin.

"Harga makanan semakin tidak terkawal bagi orang biasa dan mereka tidak dapat membeli seperti yang lazimnya mereka lakukan, jadi menyebabkan berlaku jurang rasa tidak puas yang besar dalam kalangan rakyat," kata salah seorang peserta tunjuk perasaan, Chowdhury.

Peserta-peserta tunjuk perasaan juga menuduh kerajaan telah mengatur pilihan raya palsu pada tahun 2014 dan 2018. - Agensi