SINGAPURA: Pelbagai jenis kereta hangus dalam kebakaran di atas bumbung tempat letak kereta bertingkat di bangunan komersial Golden Mile Tower di Beach Road di sini pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Pelbagai jenis kereta hangus dalam kebakaran di atas bumbung tempat letak kereta bertingkat di Golden Mile Tower, Beach Road pada Sabtu. Api berjaya dipadamkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menggunakan dua pancutan air.
  • Kira-kira 45 orang telah dipindahkan dari premis tersebut oleh polis dan SCDF. Tiga individu terhidu asap tetapi enggan dihantar ke hospital.
  • Siasatan awal menunjukkan kereta yang terlibat bukanlah kenderaan elektrik. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
  • Golden Mile Tower, dibina pada 1970-an, terkenal sebagai tempat menurunkan dan mengambil penumpang bas ke dan dari Malaysia.


Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 12.50 tengah hari dan api berjaya dipadamkan menggunakan dua pancutan air.

"Kira-kira 45 orang telah dipindahkan dari premis itu oleh polis dan SCDF. Tiga individu telah dinilai terhidu asap tetapi mereka enggan dihantar ke hospital," katanya di Facebook.

SCDF berkata hasil siasatan awal menunjukkan bahawa kereta terlibat bukanlah kenderaan elektrik. Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Golden Mile Tower yang dibina pada 1970-an pernah menempatkan pawagam terbesar di republik itu.

Bangunan itu lebih sinonim kepada rakyat Malaysia sebagai satu daripada tempat menurunkan dan mengambil penumpang bas ke dan dari Malaysia.

Video yang dikongsi dalam talian oleh orang awam menunjukkan berpuluh-puluh kereta di tempat letak kereta premis itu terlibat dalam kebakaran dengan letupan kedengaran dan kepulan asap boleh dilihat dari jarak jauh.

-- BERNAMA