Kira-kira satu daripada empat pelajar sekolah menengah di Korea, didapati tidur kurang enam jam pada waktu malam, disebabkan kerja sekolah berlebihan, menurut kajian Kementerian Pendidikan lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Menurut kaji selidik terhadap 82,883 pelajar di 765 sekolah tinggi di seluruh negara terhadap pola tidur mereka antara April dan September tahun lepas, sejumlah 43.9 peratus responden didapati tidur kurang enam jam setiap malam, kata anggota parlimen Parti Demokratik, Kim Byung-wook.

Berdasarkan jantina, 35.6 peratus terdiri responden lelaki manakala 52.9 peratus pula pelajar perempuan.

Sejumlah 61.6 peratus responden di wilayah Daejeon berkata, mereka tidak boleh tidur lebih enam jam setiap malam.

Diikuti pelajar di wilayah Gyeongsang (50.4 peratus), Busan (49.2 peratus), Seoul (48.9 peratus) dan Jeju (48.5 peratus).

Sementara itu, pakar berpendapat kekurangan tidur itu, disebabkan belajar hingga lewat malam, melayari dan bermain permainan Internet, keadaan itu memberi kesan kepada kesihatan serta perkembangan mereka.

"Ia satu hakikat menyedihkan kerana mereka tidak dapat menikmati tidur yang lebih kerana dibebankan dengan belajar dan peperiksaan untuk masuk ke kolej," kata Kim.

-- BERNAMA