NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menambah Israel dalam senarai hitam negara yang telah melakukan penderaan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata.

Dalam catatan media sosial pada Jumaat, Duta Besar Israel ke PBB Gilad Erdan berkata beliau menerima pemberitahuan rasmi mengenai keputusan itu dari Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

"Ini adalah keterlaluan dan salah.

“Saya ingin tegaskan bahawa ini keputusan yang memalukan dan tentera (Israel) adalah tentera yang paling bermoral di dunia. Yang sepatutnya disenaraihitamkan ialah Setiausaha Agung PBB kerana memberi insentif dan menggalakkan keganasan didorong oleh kebencian terhadap Israel.” tulis Erdan dalam satu catatan di Platform X.

Erdan turut memuatnaik video percakapannya bersama Guterres bagi mengecam tindakan PBB itu.


Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata beliau terkejut apabila Erdan telah bertindak merakam dan menyiarkan video semasa menjawab panggilan telefon Guterres.

Dujarric menyifatkan video tidak boleh diterima.

“Terus terang itu sesuatu yang saya tidak pernah lihat dalam 24 tahun saya berkhidmat dengan organisasi PBB,” kata Dujarric kepada pemberita pada Jumaat.

Senarai hitam global berkenaan dimasukkan di dalam laporan mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata yang akan diserahkan Guterres kepada Majlis Keselamatan PBB pada 14 Jun ini.

Ia meliputi enam pelanggaran iaitu membunuh dan mencacatkan, keganasan seksual, penculikan, pengambilan dan penggunaan kanak-kanak, penafian akses bantuan dan serangan ke atas sekolah dan hospital.

Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata keputusan itu akan memberi impak terhadap hubungan Israel dengan PBB.

Israel telah lama mempunyai hubungan perbalahan dengan PBB dan ia bertambah buruk semasa perang Israel-Hamas di Semenanjung Gaza.

Manakala, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, PBB sendiri telah menyertai mereka yang menyokong pengganas Hamas.

Laporan senarai hitam itu disusun oleh Virginia Gamba, wakil khas Guterres untuk kanak-kanak dan konflik bersenjata.

Senarai yang dilampirkan pada laporan itu bertujuan untuk memalukan pihak yang berkonflik dengan harapan ia boleh mendorong mereka untuk melaksanakan langkah melindungi kanak-kanak.

Senarai itu dibahagikan kepada dua: pihak yang telah melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi kanak-kanak dan pihak yang tidak.

Israel telah dimasukkan dalam senarai pihak yang tidak melaksanakan langkah yang mencukupi untuk melindungi kanak-kanak.

Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata Israel sepatutnya telah disenaraihitam sejak dahulu lagi.

Tindakan sebenarnya telah dilakukan sembilan tahun selepas utusan khas PBB untuk kanak-kanak dan konflik bersenjata mengesyorkan Israel dan Hamas dimasukkan ke dalam senarai pelanggaran semasa perang 2014 di Gaza, apabila 540 kanak-kanak adalah antara lebih 2,100 rakyat Palestin yang terbunuh.

Bagaimanapun, Israel telah melobi ketua PBB ketika itu iaitu Ban Ki-moon bagi mengelak daripada tersenarai, walaupun Israel menafikan memberi tekanan kepada Ki-moon.

Akhirnya, Ban tidak memasukkan Israel atau Hamas ke dalam senarai pesalah, walaupun laporan itu mengkritik keras Israel berhubung konflik berkenaan.

Angkatan bersenjata Rusia telah dimasukkan ke dalam senarai tahun lalu kerana membunuh dan mencacatkan kanak-kanak di Ukraine, serangan ke atas sekolah dan hospital serta menggunakan kanak-kanak sebagai perisai manusia.

Rusia menafikan menyasarkan orang awam sejak pihaknya menyerang Ukraine pada 24 Februari 2022.

PBB berkata bulan lalu bahawa sekurang-kurangnya 7,797 kanak-kanak telah terbunuh di Gaza yang dikenal pasti dari Kementerian Kesihatan Gaza, yang dianggap oleh PBB boleh dipercayai.

Pejabat media kerajaan Gaza berkata secara keseluruhan kira-kira 15,500 kanak-kanak telah terbunuh.

Menurut Majlis Kebangsaan Kanak-Kanak Israel, 38 kanak-kanak terbunuh dalam serangan pada 7 Oktober dengan 42 daripada kira-kira 250 orang yang dijadikan tebusan Hamas ke Gaza adalah kanak-kanak.

Semua kecuali dua kanak-kanak telah dibebaskan.