NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa negara anggota meningkatkan pembiayaan dana untuk membantu lebih dua juta rakyat Palestin, memandangkan terdapat keperluan mendesak, selepas serangan Israel ke atas kem pelarian di wilayah yang diduduki di bandar Jenin di Tebing Barat, lapor Agensi Anadolu.

"Disebabkan kerosakan infrastruktur yang ketara, keseluruhan kem itu terputus bekalan air dan beberapa penduduk hilang tempat tinggal," kata timbalan jurucakap PBB Farhan Haq kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata PBB akan mengutamakan untuk membaiki sistem rangkaian air dan pembetung dalam beberapa hari akan datang, selain mengagihkan bekalan makanan dan bantuan tunai serta sokongan psikososial, terutama kepada kanak-kanak.

Beliau berkata langkah untuk mengurangkan risiko bahan letupan yang tidak meletup juga amat kritikal.

"Untuk menyokong usaha ini, kami menggesa negara anggota untuk meningkatkan pembiayaan mereka untuk tindak balas kemanusiaan," katanya.

Pelan tindak balas kemanusiaan PBB untuk wilayah Palestin yang diduduki hanya mendapat pembiayaan sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, Penyelaras Kemanusiaan bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Lynn Hastings, turut memberikan taklimat kepada Majlis Keselamatan mengenai situasi di Jenin baru-baru ini.

Majlis 15 anggota itu mengadakan rundingan pada Jumaat untuk membincangkan serangan Israel ke atas Jenin.

Tentera Israel berundur dari Jenin pada awal Rabu, menamatkan operasi ketenteraan terbesarnya di bandar itu dalam tempoh lebih 20 tahun.

Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lima kanak-kanak dan lebih 140 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Serangan yang bermula pada Isnin itu turut menyebabkan kemusnahan di seluruh bandar di Tebing Barat, dengan berpuluh-puluh rumah, kenderaan, kedai dan utiliti musnah.

-- BERNAMA