"Kami telah bercakap mengenai perkara ini untuk sekian lama, bahawa kita memerlukan gencatan senjata, pembebasan semua tawanan dan akses kemanusiaan yang lebih meluas," katanya.
Jurucakap itu menambah bahawa PBB kekal "berhubung dengan semua rakan kongsi yang terlibat untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai perkara ini."
Kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang menyatakan bahawa Amerika Syarikat dan Israel akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata di Gaza dalam beberapa hari akan datang, dengan pengantaraan Mesir, Qatar dan Turkiye.
Pada akhir November 2023, gencatan senjata kemanusiaan sementara yang diuruskan oleh Mesir dan Qatar berlangsung selama seminggu. Dalam tempoh itu, 110 tawanan telah dibebaskan, menurut Israel.
Pada 1 Disember, gencatan senjata itu telah dilanggar dan pertempuran kembali berlaku. Beberapa pusingan rundingan melibatkan Qatar, AS dan Mesir diadakan pada Ogos, tetapi pihak terlibat dalam konflik gagal mencapai kata sepakat.
Pada 27 hingga 28 Oktober, Doha menganjurkan satu lagi pusingan rundingan mengenai Gaza yang melibatkan David Barnea, Ketua Agensi Perisikan Israel Mossad, dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) William Burns.
Namun, kedua-dua pihak sekali lagi gagal mencapai kata sepakat mengenai syarat gencatan senjata di Gaza.
-- BERNAMA