TEL AVIV: Selepas sekian lama berdendam dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang banyak berbakti pada rakyat Palestin, Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang kontroversi mengharamkan operasi agensi kemanusiaan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Agensi yang dianggap sebagai talian hayat bagi Gaza itu akan diharamakan beroperasi di di Israel dan timur Baitulmaqdis yang diduduki, meskipun terdapat bantahan dari Amerika Syarikat (AS).

Pengharaman itu berisiko meruntuhkan proses pengagihan bantuan yang sudah rapuh ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin teruk dan Israel berada di bawah tekanan untuk membenarkan bekalan bantuan disalurkan kepada mangsa perang.


UNRWA dan agensi kemanusiaan lain menuduh pihak berkuasa Israel menyekat aliran bantuan ke Gaza, di mana hampir keseluruhan 2.4 juta penduduk wilayah tersebut telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sepanjang perang.

UNRWA turut mengalami kerugian besar, dengan sekurang-kurangnya 223 kakitangannya terbunuh dan dua pertiga daripada fasiliti agensi tersebut di Gaza mengalami kerosakan atau musnah sejak perang bermula.

Undian itu diluluskan dengan keputusan 92-10 selepas perdebatan hangat antara penyokong undang-undang dan penentangnya, terutamanya Ahli Parlimen dari parti Arab.

Rang undang-undang kedua yang memutuskan hubungan diplomatik dengan UNRWA juga akan diundi pada Isnin malam.

UNRWA telah menghulurkan bantuan di seluruh wilayah Palestin dan kepada pelarian Palestin di tempat lain selama lebih tujuh dekad.

AS pada Isnin menyatakan "kebimbangan mendalam" mengenai rang undang-undang yang sedang dipertimbangkan itu, sambil mengulangi peranan "penting" agensi tersebut dalam mengagihkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Setiausaha Luar Britain, David Lammy pula meluahkan "kekesalan mendalam" bahawa Israel sedang "mempertimbangkan untuk menutup operasi UNRWA."

“Ada hubungan yang mendalam antara organisasi (Hamas) dan UNRWA dan Israel tidak dapat bertolak ansur dengan perkara ini,” kata Yuli Edelstein, Ahli Parlimen dari parti Likud yang merupakan antara wakil rakyat Israel yang membentangkan cadangan itu di Parlimen.

“Tiada tempat untuk musuh di tengah-tengah ibu kota rakyat Yahudi.”

Israel mendakwa keseluruhan Jerusalem, termasuk timur yang diambil alih, sebagai ibu kotanya yang tidak boleh dipecahkan. - Agensi