Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pulang ke Tebing Barat pada Ahad, selepas berjaya mendapatkan status negara pemerhati bukan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB 3 hari sebelumnya.

“Ya, kita kini mempunyai sebuah negara,” dalam ucapan beliau kepada ribuan rakyat Palestin yang menyambut ketibaan beliau di Ramallah.

“Dunia dengan lantangnya berkata ‘ya’ untuk sebuah negara Palestin, ‘ya’ untuk kebebasan Palestin, ‘ya’ untuk kemerdekaan Palestin, tiada penindasan, tiada penempatan haram dan tiada lagi pencerobohan,”

Mahmoud juga berjanji untuk menyatukan dua pihak Fatah dan Hamas demi memastikan perpaduan rakyat Palestin.

“Rakyat mahu perpecahan ini dihentikan.”kata Mahmoud.

Episod kejayaan terbaru ini adalah penting buat Mahmoud yang tahun lalu gagal mendapatkan kelulusan PBB untuk Palestin mendapatkan status sebuah negara.

Cubaan itu terhalang di peringkat Majlis Keselamatan PBB apabila sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya untuk menolak usul.

Dengan statusnya sebagai negara pemerhati, Palestin diiktiraf oleh pelbagai institusi antarabangsa termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa.